Seorang anggota polis menerima 26 jahitan selepas cedera di leher ketika cuba mententeramkan seorang lelaki mabuk yang sebelum itu mencederakan empat pengunjung sebuah pusat hiburan di Perai, di Butterworth awal hari ini.
Gambar Hiasan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, suspek berusia 43 tahun yang dalam keadaan mabuk mengeluarkan pisau lipat dari kocek belakang seluarnya dan mengamuk dalam pusat hiburan berkenaan.
"Suspek terbabit bertindak melibaskan pisau ke arah pengunjung di pusat hiburan berkenaan dan mengenai empat lelaki yang berada di situ. Semua mangsa berusia 27 hingga 43 tahun cedera di leher dan turut menerima jahitan," katanya di Butterworth hari ini.
Katanya lelaki itu kemudiannya keluar dari pusat hiburan itu dan masih mengamuk dan seorang anggota polis berpangkat koperal yang berada di sebuah gerai makan berhampiran tempat kejadian cuba menghampiri lelaki itu bagi mententeramkannya.
"Bagaimanapun lelaki terbabit bertindak mencederakan anggota polis itu dengan pisaunya sebelum berjaya ditahan oleh orang ramai yang berada di kawasan berkenaan," katanya.
Mazlan berkata anggota polis yang bertugas di Sungai Petani, Kedah dan seorang daripada empat lelaki yang cedera masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala dua lagi dan suspek yang juga cedera telah dibenarkan keluar hospital.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....