TAHNIAH!! Malaysia Ke Final



KUALA LUMPUR — Malaysia mengesahkan tiket ke peringkat akhir Piala Axiata 2013 selepas mengutip tiga mata ketika menentang pilihan Asia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras di sini Sabtu.

Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek yakin Malaysia mampu merangkul gelaran juara jika pemain nombor satu negara dan dunia Datuk Lee Chong Wei turut sama dalam perlawanan peringkat akhir esok.


“Kemenangan kedua-dua kategori perseorangan hari ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Saya hanya menjangkakan satu sahaja kemenangan namun pemain telah menunjukkan satu mutu permainan yang cemerlang.

“Mereka kelihatan lebih berkeyakinan, berkomitmen dan lebih fokus dalam setiap permainan hari ini. Ternyata ia lebih bagus berbanding perlawanan lepas,” katanya selepas perlawanan tamat.

Rashid memuji kelebihan ketangkasan yang dimiliki Liew Daren yang menjadi punca kemenangannya walaupun kalah pada set pertama serta kesungguhan Sonia Cheah mengawal permainan.

Skuad badminton negara berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila perseorangan wanita nombor 46 dunia Sonia Cheah menyumbang mata pertama dengan menunduk mudah perseorangan wanita nombor 10 dunia Tai Tzu Ying dengan 21-18 dan 21-16.

Manakala mata kedua diperoleh daripada kemenangan getir perseorangan lelaki nombor 10 dunia Liew Daren yang berjaya menyingkirkan Lee Hyun Il 22-24, 21-12 dan 21-12.

Liew sebelum ini tewas kepada pemain sama pada perlawanan peringkat kumpulan dengan skor 27-25, 13-21 dan 18-21.

Rentak kemenangan diteruskan lagi dengan pencapaian beregu campuran nombor tiga dunia Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang menang mudah ke atas Ashwini Ponnappa dan Tarun Kona 21-8, 18-21 dan 21-17.

Perlawanan separuh akhir akan diteruskan pukul 7.30 petang bagi menentukan satu lagi pasukan yang layak ke peringkat akhir untuk menentang Malaysia.

– BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....