OPS DAULAT : PASUKAN KESELAMATAN DITEMBAK!!

Pasukan keselamatan yang membawa keluar 15 mayat pengganas Kiram di Kampung Tanduo di sini petang ini, cemas selepas pihak musuh melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka sebelum menghilangkan diri.

Kejadian berlaku pada pukul 6.55 petang semasa pasukan keselamatan hampir selesai membawa keluar mayat-mayat berkenaan, namun tiada kecederaan melibatkan kedua-dua belah pihak.





Sementara itu, keadaan 15 mayat pengganas Kiram yang dibawa keluar cukup mengerikan dengan kebanyakannya sudah mula mereput, hancur dan berulat.

Kunjungan media yang pertama kali dibenarkan memasuki kampung itu mendapati kesemua mayat itu ditanam di dalam tiga lubang yang dijadikan kubur sedalam satu ke dua meter yang ditandakan sebagai kubur A, B dan C oleh polis dan berada berhampiran di antara satu sama lain.

Bermula kira-kira pukul 12.50 tengah hari, kubur A yang menempatkan sembilan mayat pengganas digali setelah pasukan pemusnah bom mendapati kawasan itu selamat daripada sebarang bahan letupan, diikuti oleh dua kubur berikutnya.

Sebaik sahaja lima papan lapis yang menutupi mayat pengganas di kubur A jelas kelihatan dan hanya menunggu masa untuk dialihkan pada pukul 2.15 petang, hujan lebat menyebabkan operasi membawa keluar mayat tertangguh.

Operasi kemudian disambung semula pada pukul 3 petang setelah hujan reda. Namun belum pun separuh air bertakung di dalam lubang itu dikeluarkan, hujan kembali lebat seperti sebelumnya.

Sehinggalah pada pukul 3.30 petang, kerja-kerja mengeluarkan mayat disambung semula bagi mengelakkan kelewatan. Papan lapis itu akhirnya dibuka dan ulat yang menghurung mayat kelihatan menggeletik.

Ada di antara mayat yang sudah kehilangan kepala. Ada pula yang bahagian mukanya sudah tinggal tengkorak menampakkan gigi. Bau busuk mayat menusuk hidung menyebabkan segelintir yang berada di situ terutama wakil media menjauhkan diri.

Mayat itu kemudian diangkat satu persatu. Ketika proses itu berlangsung, ada antara tengkorak mayat tiba-tiba tertanggal dari tulang belakang dan ada juga yang hancur dari bahagian pinggang ke atas.

1 ulasan:

  1. Tentukan yg menembak lari itu tertangkap jejak hingga dapat gunalah khidmat ajing tempur... atm dan pdrm pasti bolih... petualang harus digugurkan tak kira dgn apa cara sekali pun..insyallah pasti boleh.....

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....