OPS DAULAT : MATI Lebih Baik Dari DITAWAN Pengganas - Hero Kg. Senallang

“Saya lihat lelaki itu duduk di bawah pokok nangka seperti menunggu rakannya dan ketika itulah saya bersama abang dan seorang lagi penduduk kampung, Mohd Saparudin Abdul Hatam mula merancang untuk bertindak.

“Kami mengambil kedudukan masing-masing di mana saya duduk di hadapan sebelah kiri, abang saya di sebelah kanan dan Saparudin di belakang menunggu peluang untuk melakukan serangan,” katanya.

Almasi berkata, tidak berapa lama selepas itu, lelaki yang mengacukan M16 ke arah orang kampung meneguk minumannya dan ketika anggota pengganas Kiram itu hendak meletakkan botol minuman, ketika itulah dia dan abangnya serentak menyerang lelaki tersebut.

“Mujurlah saya dapat merampas senjata di tangannya, manakala abang saya dapat melepaskan tumbukan ke arah mukanya, manakala Saparudin menendang dari arah belakang sehingga dia rebah.

“Apabila rebah, penduduk kampung yang ketakutan pada mulanya, terus menyerang dan memukul lelaki itu dengan kayu dan batu... malah wanita dan kanak-kanak juga turut memukul pengganas Kiram itu seperti melepaskan marah,” katanya.

Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu lelaki tersebut tidak lagi bergerak dan apabila diperiksa lelaki itu sudah tidak lagi bernyawa menyebabkan penduduk kampung yang ditawan melarikan diri dan segera melaporkan kejadian itu kepada polis.




Almasi menunjukkan tempat dia dan abangnya mengambil kedudukan 
sebelum melakukan serangan ke atas lelaki bersenjata itu



“Apa nak jadi, jadilah.... Kalau mati... matilah aku hari ini,” kata Almasi Ansyah, 27, wira Kampung Senallang Lama yang mula-mula menerkam pengganas Kiram bersama abangnya, Boi Ansyah, 29, dalam kejadian penduduk kampung itu ditawan seorang lelaki, 3 Mac lalu.

Menceritakan peristiwa pagi Ahad itu, Almasi bersama 200 penduduk Kampung Senallang Lama dikejutkan dengan teriakan seorang lelaki yang berusia 50-an, ‘akulah yang menembak mati polis malam tadi’ yang turun dari arah sebuah bukit sambil membawa raifal M16 memerintahkan penduduk kampung berhimpun di dalam masjid.

Ansyah yang sedikit pendiam berkata, di dalam masjid kampung itu, lelaki tersebut dilihat menelefon seseorang berkemungkinan rakannya yang juga pengganas Kiram.

“Kami menjadi takut melihat lelaki itu seperti tidak waras dan mengarahkan kami semua keluar dari rumah dan berkumpul di masjid.

“Kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan... lebih-lebih lagi lelaki separuh abad itu melepaskan satu das tembakan ke lantai,” katanya.

Menurutnya, lebih kurang sejam dikurung, penduduk kampung tersebut kemudiannya diarahkan berjalan menuju ke sebuah bukit kira-kira satu kilometer dari masjid itu tanpa ada sikit pun belas kasihan.

Katanya, ada orang tua dan kanak-kanak tidak larat berjalan dipaksa berjalan sejam lamanya sehinggalah tiba di sebuah pondok di kaki bukit yang tingginya kira-kira 300 meter.


Ketika ditanya apa menyebabkan dia berani bertindak sedemikian, Almasi berkata, dia yang pada awalnya takut, secara tiba-tiba menjadi berani apabila melihat kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan.

Menurutnya, mujurlah rancangan mereka untuk menyerang lelaki itu berjaya dan sekiranya gagal mungkin ramai penduduk yang menjadi korban pengganas Kiram yang sehari sebelum itu membunuh enam anggota polis dalam satu serang hendap di Kampung Air Simunul.

“Selepas kejadian itu, ramai penduduk kampung melarikan diri kerana bimbang rakan-rakan lelaki itu datang semula dan membalas dendam sehinggalah pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu selamat,” katanya.

Sementara itu, Saparudin melahirkan kesyukuran kerana terselamat dalam insiden itu, namun mereka masih lagi risau dan mengharapkan pihak polis meningkatkan kawalan di kampung itu.

“Jarak kampung ini dengan Simunul bukannya jauh sangat, kami bimbang tentang keselamatan anak isteri kami yang masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memuji keberanian penduduk kampung melawan pengganas bersenjata yang ceroboh kampung mereka. - Sinar Harian

2 ulasan:

  1. Syabas pada 3 pemuda yg berani , patut di beri pingat .. harap wakil rakyat Senalang bagi perhatian terhadap mereka untuk pingat keberanian..?

    BalasPadam
  2. Pingat gagah berani DAN diangkat sebagai SARJAN dalam RELA atau POLIS BANTUAN.

    Jasa da sumbangan mereka ini tidak ternilai dengan nyawa yang dipertaruhkan

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....