JURUTERBANG MUDA MALAYSIA DISAMBUT MERIAH DI NEW YORK




NEW YORK - Seorang juruterbang muda Malaysia diberi sambutan meriah pada satu majlis keraian di New York pada Sabtu selepas beliau mendarat dengan pesawat Cessna 210 Eagle yang diberi nama 'The Spirit of Malaysia' di Teteboro, New Jersey.

Majlis itu, yang dihoskan pejabat Tourism Malaysia New York, berlangsung di pejabat wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kapten James Anthony Tan, 21, berlepas dari Langkawi pada 26 Mac, untuk memulakan misinya terbang mengelilingi dunia secara solo dengan menggunakan pesawat kecil.

Apabila mendarat di Teteboro, Tan telah melakukan penerbangan sejauh 20,000km atau ke separuh dunia dengan melintasi Subang, Thailand, Vietnam, Taiwan, Jepun, Rusia dan Kanada.

Juterbang muda ini dijangka kembali ke Malaysia pada atau sebelum 15 Mei.

Tan melaksanakan misi bertemakan '1Malaysia Round the World' itu dengan berbekalkan semangat 'Malaysia Boleh', ungkapan yang turut dilaungkan ramai anak muda Malaysia yang menghadiri majlis itu.

Dalam temu bual dengan Bernama sebelum majlis itu bermula, Tan menceritakan peristiwa yang membuka hatinya untuk melaksanakan misi berkenaan.

"Saya seorang yang sungguh bernasib baik. Sejak kecil lagi, saya dapat apa saja yang saya mahu. Tahun lepas, saya bersua muka dengan seorang kanak-kanak yang menghidap Down syndrome. Sinar matanya memancarkan kekosongan hidup...dia tidak memiliki sebarang minat atau cita-cita...Ini menyedarkan saya tentang betapa bertuahnya saya.

"Sejak itu, saya menanam tekad untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi semangat kepada orang lain. Tujuan utama misi saya ini ialah untuk memberi inspirasi kepada orang lain...bukan kerana penerbangan, walaupun saya sedar adalah sesuatu yang agak hebat sekiranya saya berjaya merentas dunia dengan pesawat ini ketika berusia 21 tahun, yang secara tidak langsung merupakan satu rekod, menurut Guinness (Book of Records).

"Ia bertujuan memberi inspirasi kepada orang lain dan mendorong mereka untuk memburu impian masing-masing," katanya.

Tan merupakan rakyat Malaysia pertama dan paling muda yang mencatat rekod itu.

Seorang juruterbang bernama Carlos Smith, yang mencipta rekod melakukan penerbangan mengelilingi dunia ketika berusia 22 tahun, setahun lebih muda daripada Tan, mendapat pengesahan daripada Guinness Book of Records tentang kejayaannya itu dengan berpandukan bukti dalam bentuk rakaman kenyataan saksi, foto dan sebagainya.

Tan menggunakan sistem pengesanan melalui laman webnya untuk menunjukkan perkembangan yang dilalui sepanjang misinya itu. Ini termasuk saat-saat mencemaskan yang dialaminya.

"Saya menghadapi beberapa peristiwa yang mencemaskan...berkaitan bekalan bahan api, sama ada saya berada di laluan betul dan sebagainya.

Saya berasa sungguh risau ketika terbang dari Rusia ke Alaska. Laut di bawah saya beku...malah, saya dapat melihat ombak yang kaku membeku!

Apakah yang akan terjadi sekiranya pesawat yang saya pandu mengalami masalah ketika terbang meredah ruang udara sejauh jauh itu. Keadaannya amat menakutkan..." kata Tan.

Tan berkata ekspedisi yang dilakukannya itu juga bertujuan untuk "memberi ilham kepada belia supaya mereka meneroka dunia". 

Tan, yang menghidap dyslexia sejak lahir, berkata beliau cuba meningkatkan kesedaran masyarakat tentang masalah yang dihadapi kanak-kanak istimewa dan mendorong golongan kurang bernasib baik itu supaya "mengejar cita-cita mereka, walaupun ia mungkin kelihatan mustahil dicapai".

Nama juruterbang yang memperoleh lesen penerbangan dari Australia dan United Kingdom ini tercatat dalam Malaysia Book of Records kerana melakukan penerbangan pergi balik sejauh 13,000 batu nautika dari United Kingdom ke Bangkok pada 2012.

Pada majlis itu, pengawal atur bandar raya New York John C. Liu, yang diundang sebagai jemputan khas, menyampaikan kepada Tan satu "perisytiharan istimewa" kerana pencapaiannya itu.

Sambil menyifatkan Tan sebagai 'wira muda', Liu berkata: "Kita harap wira muda ini akan melakar kejayaan lebih besar untuk menjadi pendorong, bukan sahaja kepada anak muda, tetapi juga kepada semua golongan usia di seluruh dunia."

Tan juga menerima Anugerah Perisytiharan New York State daripada Senator Martin Golden, yang menyanjung tinggi kegemarannya melakukan penerbangan serta kejayaannya mengatasi rintangan hidup.

Konsul jeneral Malaysia di New York Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata misi Tan itu mendapat sokongan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

Wisma Putra pula membantu Tan mendapatkan visa bagi persinggahannya di beberapa negara sepanjang ekspedisi itu.

Majlis keraian itu juga dihadiri Ahmad Johanif Mohd. Ali, naib presiden pejabat Tourism Malaysia New York.

Beberapa wakil Persatuan Malaysia Amerika, termasuk pengerusinya Kim Bong dan ketua pengarah eksekutif Jack Liaw serta beberapa pelajar Malaysia, turut menghadirinya. - Bernama

1 ulasan:

  1. ni yang aku bangga dengan anak Malaysia ni..harap ada lagi yang boleh naikkan nama Malaysia...

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....