Hari ini genaplah 4 tahun pemerintahan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. 4 tahun sebenarnya, adalah masa yang singkat bagi kita menilai seseorang pemimpin, namun tidak bagi pemimpin seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dalam hanya 4 tahun, Dato’ Seri Najib telah berjaya membuktikan kredibiliti dan kebijaksanaannya mentadbir negara, dan angka-angka ekonomi serta kepuasan hati rakyat adalah buktinya.
Lihat saja di media-media massa yang terpaksa menyediakan ruang yang agak besar untuk menyenaraikan segala pencapaian Dato’ Seri Najib bermula dari memperkenalkan konsep 1Malaysia sehinggalah kepada GTP, ETP dan pemberian-pemberian tunai kepada rakyat. Begitu juga dengan pencapaian dari segi GDP dan juga indeks keyakinan pelabur, pembentarasan rasuah dan berbagai-bagai lagi yang mana tidak mungkin tercapai jika Dato’ Seri Najib bukan seorang pemimpin yang benar-benar berkesan.
Walau apapun yang dituduh dan diperkatakan tentang beliau, namun Dato’ Seri Najib ternyata seorang yang sukar untuk digoyah. Sifat tenang beliau membolehkan beliau mengendali setiap situasi dan cabaran dengan baik. Jika dahulu bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dijadikan sasaran fitnah hebat serta kutukan dan cemuhan pembangkang yang masih berterusan sehingga kini, namun tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa yang perlu dilalui oleh Dato’ Seri Najib adalah lebih hebat lagi.
Fitnah yang melanda Dato’ Seri Najib begitu dahsyat, iaitu termasuk terlibat dalam pembunuhan. Malah isteri dan anak menantu beliau juga menjadi sasaran fitnah yang bukan-bukan sehingga kepada tuduhan mengamalkan ilmu hitam. Beliau juga difitnah memakai tangkal di Mekah serta memakai rantai emas. Apa yang menarik ialah, ketika pembangkang giat memfitnah beliau, Dato’ Seri Najib meneruskan tugasnya memimpin negara seperti biasa.
Akibat keengganan beliau untuk melayan karenah pembangkang, maka pembangkang terpaksa menggiatkan lagi usaha fitnah sehingga akhirnya pembohongan mereka menjadi terlalu besar dan tidak terkawal. Pendek kata, fitnah-fitnah yang ditujukan kepada beliau lama-kelamaan menjadi begitu melampau-lampau lalu menyerlahkan betapa bobrok, buruk atau jahatnya puak pembangkang.
Hari ini, setelah 4 tahun berlalu, kita menyaksikan bagaimana satu demi satu fitnah yang melanda beliau terbongkar sendirinya sebagai pembohongan pembangkang tanpa perlu beliau membalas atau melatah pun. Tidak cukup dengan cabaran fitnah, usaha berterusan pembangkang untuk menimbulkan huru-hara akhirnya tercapai sedikit di saat-saat pilihanraya semakin hampir. Ia berlaku di Lahad Datu, Sabah di mana pembangkang telah dikenalpasti sebagai dalang yang mengundangnya.
Namun, keganasan itu juga berjaya ditangani oleh Dato’ Seri Najib dengan tenang. Malah keprihatinan beliau terhadap rakyat dan wira-wira negara juga terserlah melalui episod ini, sekali gus memberi peluang rakyat untuk menilai sendiri siapa pemimpin kita dan siapa atau apa jenis pembangkang yang kita ada. Dato’ Seri Najib ternyata berjaya mengembalikan Malaysia ke kedudukannya yang istimewa di persada dunia seperti ketika berada di bawah pemerintahan Tun Mahathir.
Jika nama Malaysia dikhuatiri ‘pudar’ sedikit sebelum ini, nama itu kini kembali gah sebagai pembawa keamanan dan penyebar kasih sayang demi sebuah dunia yang lebih baik. Jika dulu kita disanjung kerana kesungguhan membantu rakyat di negara yang berkrisis seperti Bosnia atau mangsa-mangsa kekejaman PolPot di Kemboja serta lantang membela Palestine, maka kini Dato’ Seri Najib menerus dan meningkatkan lagi ‘tugas keamanan’ itu. Akhir-akhir ini beliau telah pun berjaya membantu mengamankan selatan Filipina di samping membantu Selatan Thai dan memberi ikrar kepada rakyat Palestine.
Walaupun dunia menyaksikan angka ekonomi yang tidak stabil, tetapi rakyat Malaysia kekal hidup dalam keadaan sejahtera tanpa merasai sedikit pun dari ‘gegaran’ ekonomi itu. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara, andainya bukan Dato’ Seri Najib dan bukan Barisan Nasional yang menjadi peneraju di kala semua cabaran ini melanda. Oleh itu, menjelang Pilihanraya-13 ini, rakyat Malaysia wajar mengambil kira segala pencapaian dan segala perkembangan yang berlaku dalam negara dalam membuat pilihan. Ketepikan emosi dan pilihlah dengan minda yang waras.
Di kala dunia sedang bergelora dengan ancaman kuasa besar yang ingin menakluk dunia serta melalui ketidak-tentuan ekonomi, maka memilih sebuah kepimpinan yang bijak, kukuh, kuat, ikhlas dan prihatin amatlah penting. Janganlah kita mengabaikan kapal yang cukup teguh dengan terjun ke dalam laut yang bergelora semata-mata percaya adanya sebuah kapal lain yang akan menyelamatkan kita.
Padahal kapal itu belum pun siap dibina, dan nakhodanya juga belum tentu siapa. Justeru, berdasarkan apa yang berlaku selama 4 tahun ini, kita yakin bahawa tiada yang lebih baik untuk menakhoda Malaysia, melainkan Dato’ Seri Najib. Apa yang penting ialah, kapal kita, iaitu BN yang telah sedia kukuh, perlu dikukuhkan lagi dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada nakhodanya demi masa depan yang lebih cerah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....