TIADA KOMPROMI DALAM KESELAMATAN BIARPUN PRU DIADAKAN


Lahad Datu, 16 Mac - Pasukan keselamatan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara biarpun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.


Kenyataan beliau ini sekali gus menafikan kononnya Operasi Daulat akan ditamatkan dalam masa terdekat, khusus untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.


"Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Kami tidak meletakkan tempoh masa untuk operasi itu, sebab kalau kita letak 'garis masa' seolah-olah kita tahu kedudukan musuh berada di mana. Kita akan cuba selesaikan dengan secepat mungkin," katanya. 


Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. 


Hamza berkata pihaknya menjangkakan hanya terdapat 50 orang lagi musuh, namun tidak dapat memastikan jumlah sebenar kerana penilaian dibuat berdasarkan jumlah musuh ditembak mati, ditahan dan yang lari ke selatan Filipina. 


Mengenai membenarkan penduduk lima buah kampung kembali ke rumah masing-masing, beliau berkata pasukan keselamatan akan melakukan pembersihan daripada jerangkap samar dan pelbagai lagi ancaman sebelum mengadakan perbincangan dengan ketua masyarakat untuk membolehkan mereka pulang.


"Kita akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya. 


Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang ini, tiada pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan pengganas yang menceroboh dan berkubu di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Feb lalu.


Hamza berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-12 merekodkan 61 pengganas ditembak mati, 27 mayat pengganas dibawa keluar dari zon merah untuk dilakukan bedah siasat dan seramai 232 orang ditahan kerana berada di zon merah. 


Sementara 104 orang ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan, kata Hamza. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....