Seorang Dibunuh, 3 Melarikan Diri, 80% Mayat Siap Bedah Siasat





Lahad Datu, 17 Mac - Operasi Daulat yang diteruskan hari ini dengan usaha memburu dan 'membersih' Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah, menyaksikan seorang lagi militan Sulu ditumpaskan. 


Musuh ditembak mati dalam pertempuran kira-kira 10.15 pagi apabila pasukan keselamatan bertembung dengan sekumpulan penceroboh bersenjata, menjadikan bilangan keseluruhan pengganas yang terbunuh setakat ini kepada 62 orang. 


Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata pasukan keselamatan kini giat menjejaki tiga lagi musuh yang melarikan diri dalam kejadian itu. "Operasi memburu saki-baki penceroboh akan diteruskan sehingga Kampung Tanjung Batu selamat dan bersih dari musuh," katanya pada sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di Felda Sahabat, Lahad Datu. 


Mayat musuh yang dibunuh dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu petang ini dan diserahkan kepada pihak forensik. Dalam pada itu, Hamza berkata 80 peratus daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang telah dibawa keluar daripada kawasan Operasi Daulat selesai dibedah siasat. 


Bagaimanapun belum ada indikasi daripada Manila untuk menuntut mayat-mayat tersebut walaupun tempoh tiga hari yang diberikan oleh Malaysia tamat hari ini. Malaysia sebelum ini memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat setelah mereka menceroboh negara sejak 12 Feb lepas. 


Beliau turut memaklumkan anggota keluarga Jamalul Kiram dipercayai antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 


Bagaimanapun, katanya operasi membanteras tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah, kerana kaum keluarga anggota militan lain tidak terlepas daripada buruan polis. 


Sementara itu pengorbanan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dihargai mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat kunjungan singkat ke daerah itu hari ini bagi memberi sokongan moral. - BERNAMA

2 ulasan:

  1. PERTAHANKAN NEGARA KITA, PINTU SEMPADAN MESTI DIPERKETATKAN.APA YANG BERLAKU DI LAHAD DATU ADALAH PENGAJARAN KEPADA KITA SUPAYA LEBIH WASPADA. JANGAN PERCAYA KEPADA WARGANEGARA ASING KETATKAN KAWALAN.BANYAK MASALAH KEDATANGAN WARGA ASING KEPADA NEGARA.

    BalasPadam
  2. jgn hanya di lahad datu sahaja kita beratkan,,sebelah indon dan siam patut kita amik ,,,sudah nampak sekarang apa yang telah lama terpendam,rakyat asing perlu diambil tindakan,,halau semuanya pulang kenegara mereka,,,,jgn biarkan,..bersatulah bangsa malaysia,1 malaysia,satu melayu 1 islam,..allahuakbar,,,,

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....