Lahad Datu, 24 Mac - Suasana di sekitar kawasan Felda Sahabat yang kini dipenuhi pasukan keselamatan ekoran insiden pencerobohan pengganas militan tidak menghalang sepasang mempelai meraikan hari bahagia mereka dalam
suasana meriah.
Seperti pasangan lain, Yusran Yunus dan Suliza Zakaria mengambil kesempatan musim cuti sekolah ini untuk manamatkan zaman bujang dan mengadakan majlis persandingan mereka hari ini.
Mereka juga sempat berarak, menari Tarian Igal-Igal (kaum Bajau) dan makan beradap di hadapan kira-kira 300 tetamu tempatan.
Gambar Hiasan
Majlis yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang dikawal pasukan keselamatan memandangkan ia terletak kira-kira 30km dari zon merah Operasi Daulat.
Yusran berkata majlis sepatutnya dibuat pada bulan Januari kemudian ditunda ke Februari sebelum ditunda sekali lagi ekoran pencerobohan pengganas militan dari Sulu itu.
"Sebelum membuat keputusan untuk bernikah dan bersanding hari ini, kami bertanya pada jiran dan pasukan keselamatan.
"Syukur keadaan selamat dan kami dapat bersanding seperti pengantin lain. Terima kasih kepada yang sudi datang," katanya kepada pemberita yang turut menghadiri majlis itu.
Ketua Peneroka Felda Sahabat 3, Faizal Abdullah berkata memandangkan dewan awam dipenuhi pasukan keselamatan, keluarga pengantin diminta menggunakan rumah jika ingin melangsungkan persandingan.
"Keselamatan tiada masalah kerana kami dikelilingi tentera yang menjaga kami di sini," katanya.
Majlis persandingan itu dilangsungkan dalam suasana meriah dengan tetamu memakai pakaian berwarna-warni dan dijamu pelbagai lauk pauk. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....