Besut, 21 Mac - Kerajaan Terengganu akan mengabadikan nama dua perwira negara berasal dari negeri ini yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada nama jalan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia sebagai tanda memperingati jasa dan pengorbanan mereka iaitu ASP Zulkifli Mamat dan ACP Ibrahim Lebar.
"Kami akan menamakan jalan di tempat kelahiran mereka sebagai tanda peringatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM50,000 masing-masing kepada keluarga kedua-dua perajurit itu di Kampung Kubang Ikan dan Jabi, Jerteh di sini hari ini.
Ahmad turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menawarkan pinjaman pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada kedua-dua anak Allahyarham Ibrahim yang sedang menuntut di sebuah universiti di Mesir dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.
Balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 40, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah banyak membantu keluarganya.
"Saya sangat bersyukur kerana kerajaan negeri banyak membantu dan wang sumbangan tersebut akan saya gunakan untuk merealisasikan impian arwah yang ingin melihat ketiga-tiga anak saya berjaya.
"Sumbangan ini sangat bermakna untuk kami harungi kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat kami berteduh," katanya.
Ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 62, menerima sumbangan mewakili menantunya Noraziah Noor, 30, yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat.
"Saya akan serahkan wang ini kepada isteri arwah, terpulang kepadanya sama ada untuk dibuat upah haji atau untuk kegunaan pelajaran anak-anak," katanya selepas menerima sumbangan daripada menteri besar. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....