VIDEO - Banjir 4 Negeri Bertambah Buruk!!


Banjir melanda lagi di Pantai Timur. Keadaan banjir di empat negeri semakin teruk pagi Rabu apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 5,037 orang berbanding 1,046 orang Selasa malam.

Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat gelombang ketiga banjir yang melanda di Pantai Timur manakala keadaan banjir di Perak dan Selangor tidak menunjukkan sebarang perubahan.





Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Terengganu meningkat lebih sekali ganda apabila 3,679 orang dipindahkan sejak malam tadi ke 44 pusat pemindahan melibatkan daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, setakat 10 pagi, keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan 1,036 orang dipindahkan ke 19 pusat pemindahan di Kota Baharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Bachok.

Manakala di Perak, jumlah mangsa banjir seramai 297 orang berada di tujuh pusat pemindahan di Manjung, Perak Tengah dan Larut Matang.

Di Selangor, 15 orang berada di satu pusat pemindahan di Sepang.

Sehingga kini, satu jalan ditutup di Kelantan, iaitu Jalan Rantau Panjang - Panglima Bayu untuk semua kenderaan dan di Selangor, Jalan Sungai Lalang - dari Semenyih ke Hulu Langat dan Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat.

Sementara itu, Dua bahagian rumah di Kampung La, Hulu Besut di sini rosak teruk akibat hanyut dibawa arus deras ketika banjir melanda kawasan itu petang semalam.
Dua rumah itu yang terletak di tepi jalan utama antara Jerteh ke Keruak, Hulu Besut iaitu berhampiran Sungai Besut, dihanyutkan kira-kira 30 meter dari tapak asalnya. 
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad berkata separuh rumah kepunyaan Zakaria Ibrahim dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi mangsa, Abdul Razak Abas dihanyutkan bahagian dapur rumahnya. 

Katanya air mulai naik dan memenuhi sekitar Kampung La sekitar 12 tengah hari semalam dituruti arus deras akibat limpahan air Sungai Besut kira-kira sejam kemudian.






"Nasib baik semasa bahagian kedua-dua rumah itu hanyut tuan punya sebuah rumah berkenaan (Zakaria) sempat menyelamatkan diri manakala Abdul Razak pula berada di pusat pemindahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya ekoran banjir tersebut sebanyak 75 keluarga terpaksa dipindah membabitkan 250 orang. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung La, Zakaria Musa yang dihubungi berkata air mulai surut 2 pagi tadi dan sehingga pagi ini terdapat 150 mangsa masih berada di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La. 

Katanya penduduk kini sibuk mencuci rumah masing-masing yang dimasuki lumpur ekoran banjir semalam. 

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar Jerteh mendapati beberapa buah kampung di sekitar Lubuk Kawah, Jerteh dan Kampung Lampu, Kuala Besut kini dilanda banjir apabila air mulai turun dari Hulu Besut melalui Sungai Besut awal pagi ini. 

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, 15 sekolah kebanyakannya di Hulu Besut dan Jerteh terpaksa ditutup akibat dilanda banjir sejak awal pagi tadi. 

Katanya ia termasuk empat sekolah menengah yang terpaksa mengambil cuti berganti apabila jalan ke sekolah itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan. 

Selain itu tinjauan pagi ini juga mendapati beratus-ratus kenderaan tersadai di bandar Jerteh kerana tidak boleh meneruskan perjalanan akibat jalan utama Kota Baharu ke Kuala Terengganu dinaiki air di beberapa kawasan seperti di Kilometer 103 bandar Jerteh berhadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa dan di hadapan Sekolah Pusat Jerteh sedalam satu meter sejak 5 pagi tadi. 

Sementara itu Jalan Jerteh ke Keruak, Hulu Besut juga terpaksa ditutup kerana dinaiki air di beberapa lokasi seperti di kampung Cerang Meliling, Lubok Kawah, Alor Keladi dan di Lepang Kejor antara 0.5 hingga 1.5 meter pagi ini. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....