Desperado pakatan pembangkang turut memanipulasikan masyarakat India
dalam percaturan politik sebagaimana pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang
lalu, kata Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan.
Jelasnya, antara faktor kejayaan pakatan pembangkang memperoleh undi
yang banyak sehingga dapat menawan lima negeri pada PRU ke-12 lalu
adalah disumbangkan oleh masyarakat India yang terpengaruh dengan
janji-janji mereka dan taktik ini kembali digunakan menjelang PRU ke-13.
“Jika pada 2008 lalu, masyarakat India dimomokkan oleh mereka dengan
perhimpunan jalanan sebagaimana yang dilakukan oleh HINDRAF selain
janji-janji pembelaan yang mana dapat dilihat di Kampung Buah Pala,
Pulau Pinang tetapi kemudiannya apabila mereka mendapat kuasa maka
semuanya tidak dilaksana malah kata-kata yang mengguris hati dan
memperkecilkan undi bangsa ini diluahkan,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujarnya, perkara lalu menjadi tauladan bagi masyarakat India lantas
mereka sekarang telah kembali memberikan sokongan kepada Barisan
Nasional (BN) kerana sedar bahawa hanya parti tersebut yang memberikan
pembelaan dan melontarkan kata-kata atas keyakinan bahawa setiap janji
akan ditunaikan.
“Cukuplah sekali pakatan pembangkang diberikan peluang kerana telah
terbukti bahawa mereka gagal menyelesaikan masalah yang dibawa oleh
rakyat sebaliknya mereka hanya memperbesarkan saja isu terbabit untuk
dijadikan sebagai bahan propaganda tapi tiada penyelesaian.
“Ini amat berbeza dengan pendekatan yang dilakukan oleh BN kerana
sebagai kerajaan yang bertanggungjawab BN tidak memperbesarkan isu yang
ada sebaliknya membantu menyelesaikannya dengan cara yang berhemah dan
amat menyenangkan.”
Tambahnya, jika sebelum ini anggota pakatan pembangkang hanya
memperguna kaum India bagi kepentingan politik, kuasa dan kedudukan
mereka maka ia tidak mungkin akan berulang buat kali kedua.
“Pakatan pembangkang cuba menggunakan isu kaum India sebagaimana
kononnya mereka mendakwa 300,000 orang yang masih tidak mempunyai
dokumen sedangkan kelompok yang dibawa berhimpun ke Putrajaya adalah
mereka yang terdiri dari pekerja asing dan kebanyakkannya bukan orang
tempatan.
“Semakin dekat PRU ke-13 maka pakatan pembangkang semakin terdesak
mendapatkan sokongan sehinggakan mereka menggunakan sekumpulan individu
bagi memperlihatkan kepada orang ramai kononnya mereka melakukan
pembelaan kepada bangsa India.”
Tegasnya lagi, sememangnya masyarakat India amat kecewa dengan
pakatan pembangkang dan sedar bahawa mereka diperguna semata-mata
kepentingan politik sedangkan kebajikan yang dijanji tidak dilaksana.
“Pakatan pembangkang juga sedar bahawa sokongan masyarakat India
kepada mereka semakin berkurang lantas mereka sengaja membangkitkan
isu-isu lapuk untuk kembali menarik sokongan mereka walhal telah nyata
bahawa BN melaksanakan kebajikan rakyat tanpa sebarang pura-pura apatah
lagi banyak pembaharuan yang dilaksana selain memperbetulkan pelbagai
kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.”
Dilaporkan, sebelum ini Ahli Parlimen PKR (Sungai Petani), Johari
Abdul pernah menyatakan bahawa pakatan pembangkang mampu mengekalkan
kuasa di Kedah tanpa sokongan kaum India yang secara tidak langsung
menafikan pembabitan bangsa ini dalam PRU.
Lebih buruk lagi, janji manis pakatan pembangkang beberapa ketika
sebelum PRU 2008 yang secara terbuka menyatakan komitmennya bagi
menyelesaikan isu kampung Buah Pala namun malangnya penempatan yang
dianggap sebuah kampung tradisi ini dirobohkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....