HUJUNG minggu lalu menjadi hari paling bermakna kepada dua wanita
berusia 30-an di Stockholm, Sweden apabila berjaya memiliki rahim
selepas menjalani pembedahan pemindahan uterus yang dilakukan oleh
sekumpulan doktor pakar di Hospital Sahlgrenska yang terletak di barat
negara itu.
Lebih menarik, mereka menerima rahim tersebut daripada ibu kandung
masing-masing sekali gus mencipta sejarah sebagai pemindahan rahim
daripada ibu kepada anak yang pertama di dunia.
Menurut ketua pasukan bedah berkenaan, Prof. Dr. Mats Brannstorm,
lebih 10 orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur
tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar
tersebut.
Menurutnya yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Universiti
Gothenburg, rahim wanita pertama telah dibuang beberapa tahun lalu
akibat kanser pangkal rahim manakala wanita kedua dilahirkan tanpa
rahim.
“Keadaan dua-dua pesakit yang enggan identiti sebenar mereka
didedahkan ini berada dalam keadaan baik walaupun sedikit penat selepas
menjalani pembedahan.
“Sementara itu, kedua-dua ibu mereka sudah boleh berjalan dan
dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi,” ujar Bransstorm.
Kes wanita ketiadaan rahim bukanlah senario baharu di Sweden, malah
dianggarkan di negara itu, terdapat 2,000 hingga 3,000 wanita yang tidak
dapat mengandung disebabkan ketiadaan rahim, sama ada ia berpunca
daripada masalah kesihatan mahupun yang lahir tanpa rahim.
Menurut Bransstorm lagi, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia.
Berdasarkan teori tersebut, pakar perubatan berpendapat, rahim wanita
yang sudah mengalami fasa menopaus masih boleh menampung kehamilan.
Seorang penerima rahim yang dikenali sebagai Anna memberitahu, dia
memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula
fungsi badannya seperti wanita lain.
“Pengalaman mempunyai rahim adalah satu perasaan yang hebat. Saya gembira pembedahan pemindahan ini berjaya walaupun belum ada
jaminan saya dan teman lelaki boleh menimang cahaya mata selepas ini. Bagaimanapun, memiliki rahim buat kali kedua adalah peluang terbaik dalam hidup saya. Jika saya berjaya hamil, ia adalah bonus buat kami,”
Walaupun pemindahan rahim antara ibu dan anak ini mencipta sejarah
yang tersendiri, ia bukanlah pemindahan rahim yang pertama dalam sejarah
perubatan dunia.
Ogos tahun lalu, seorang wanita kelahiran Turki, Derya Sert, 22, turut mendapat rahim selepas lebih dua dekad dia dilahirkan.
Derya dikatakan tergolong dalam kelompok 5,000 wanita yang dilahirkan tanpa rahim di dunia.
“Saya tidak pernah didatangi haid sepanjang hidup sehinggalah selepas
beberapa bulan saya mendapat rahim yang didermakan oleh waris mangsa
kemalangan maut,” ujarnya yang juga isteri kepada seorang mekanik kereta
ini.
Mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata, Derya bagaimanapun diuji. Namun, selepas pertemuan dengan sepasukan doktor dari Hospital
Universiti Akdeniz, dia mula memasang impian untuk bergelar ibu suatu
hari nanti.
“Pada 9 Ogos lalu, nasib saya berubah apabila sepasukan doktor dari
Hospital Universiti Akdeniz berjaya melakukan pembedahan pemindahan
rahim yang didermakan kepada saya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur. Rahim yang saya terima ini merupakan satu anugerah tuhan yang sangat bermakna.
“Sebelum ini doktor mengesahkan saya tidak mempunyai rahim namun saya
memiliki sepasang ovari yang sihat dan boleh mengeluarkan telur seperti
wanita normal.
“Sekiranya diizinkan tuhan, kami mahu menimang cahaya mata dalam masa
terdekat,” ujarnya yang menghabiskan masa selama enam bulan di hospital
bagi menjalani pembedahan itu.
Apa yang menarik, Derya menjadi wanita pertama di dunia menerima rahim daripada seorang penderma yang telah meninggal dunia.
Pembedahan ke atas suri rumah ini merupakan kejayaan pembedahan pemindahan rahim kedua di dunia.
Kali pertama ia dilakukan di Arab Saudi pada tahun 2000 melibatkan rahim daripada seorang penderma yang masih hidup.
Bagimanapun, pembedahan itu tidak berjaya kerana pembentukan darah
beku yang banyak sekali gus memaksa doktor membuang organ berkenaan
selepas 99 hari berada dalam perut penerimanya.
Pasukan doktor di Turki bagaimanapun yakin masalah itu dapat diatasi
dengan menggunakan rahim orang mati kerana lebih banyak tisu dan salur
darah di sekitar rahim penderma boleh dimasukkan ke dalam tubuh si
penerima.
“Kami gembira kerana selepas pemindahan rahim pada tahun lalu, Derya
sudah didatangi haid malah ia hadir secara konsisten. Ini bermakna, tisu
daripada rahim yang dipindahkan itu hidup dan berfungsi seperti rahim
biasa.
“Pembedahan ini dianggap berjaya tetapi kejayaan sebenar adalah
apabila Derya melahirkan bayinya nanti,” kata ketua pasukan pakar bedah
itu, Dr. Omer Ozkan.
Menurutnya, tempoh enam bulan diperlukan sebelum Derya dihantar kepada pakar-pakar sakit puan. - Kosmo Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....