Jangan Politik Bidang Pendidikan - Najib

TUMPAT, 20 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bidang pendidikan terlalu mahal harganya untuk dipolitikkan kerana ia merupakan bekalan kepada kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara pada masa depan.

Najib berkata biar apa sahaja andaian pembangkang terhadap usaha kerajaan itu, namun kerajaan tetap berpendirian ia adalah untuk melahirkan generasi yang berpegang kepada keimanan dan ilmu yang tinggi.

“Inilah konsep yang diperjuangkan kerajaan dalam bidang pendidikan, ada kata ia sistem kebangsaan tetapi pengisiannya adalah untuk melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu.





“Nak jadi khalifah macam mana nak makmur kalau tidak berilmu, kalau beriman tanpa ilmu tak mungkin boleh selesaikan. Jadi inilah konsep yang diperjuangkan kerajaan dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 5,000 orang termasuk 3,000 pelajar di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Baharu di sini, hari ini.

Perdana Menteri berada di sekolah itu kira-kira sejam bagi menghadiri Program Perhimpunan Pagi dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada tiga buah sekolah iaitu SK Sri Wakaf Baharu, SK Wakaf Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Menurutny, kerajaan sama sekali tidak akan meminggirkan Kelantan dalam soal pendidikan dan berjanji negeri ini akan mendapat perhatian yang sama dengan negeri lain walaupun diperintah pembangkang sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya gembira apabila Kelantan juga telah berjaya dalam bidang pendidikan apabila keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kelantan yang mana telah muncul sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia.

“Pahang pun kalah dan saya ucapkan tahniah kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan sebab itu saya katakan kita tidak boleh mempolitikkan soal pendidikan kerana ini adalah soal masa depan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata slogan Membangun Bersama Islam yang diperjuangkan PAS di Kelantan tidak akan ke mana jika pengisian ilmu pendidikan tidak diutamakan pemimpin parti itu.

“Keagungan Islam pada zaman lampau adalah kerana ketinggian ilmu yang telah menyinari dunia keagungan zaman itu. Ia berpaksi kepada ilmu malah lebih jauh daripada itu,” katanya.

Najib turut mengambil contoh kejayaan Mustapa dan Dr Awang Adek yang dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi boleh berjaya dan menjadi pemimpin utama di Kelantan.

“Tok Pa (Mustapa) bapa dia adalah petani dan guru agama tetapi anak dia (Mustapa) mendapat ijazah kepujian pertama dari universiti. Begitu juga Awang Adek yang bapa dia penanam tembakau tetapi kini dia adalah timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pusat memperuntukkan RM201 juta kepada Kelantan dalam memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini dalam tempoh sepanjang tahun ini.

“Saya datang untuk katakan perkara ini kepada rakyat Kelantan. Kita ada  hala tuju, kita ada pendirian, kita ada pegangan yang kita perjuangkan, sesuatu yang tidak boleh dipinggirkan atas perbezaan politik,” katanya.

Perdana Menteri kemudiannya turun ke pentas untuk bersalaman dengan para ibu bapa dan pelajar sebelum ke Pasar Siti Khadijah di Kota Baharu bagi mengadakan tinjauan mesranya di pasar yang terkenal di kalangan pelancong itu.

Beliau kemudiannya ke Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan di Tunjong bagi menyempurnakan majlis Jelajah Janji Ditepati dan pada sebelah petang menghadiri mesyuarat tertutup Badan Perhubungan Umno Kelantan di Hotel Renaissance di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - Umno Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....