JOHOR BAHARU, 29 Jan – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas tindakan sesetengah pihak yang menuduh Polis Diraja Malaysia sebagai sudah tidak boleh dipercayai.
Titah baginda tuduhan yang dilemparkan itu tidak masuk akal dan sangat melampau.
“Tindakan itu hanya akan dilakukan penjenayah yang bersalah sahaja dengan memutar belit fakta selain menyalahkan undang-undang bagi mengelak diri mereka daripada dihukum,” titah baginda semasa mencemar duli merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini Selasa.
Lebih buruk lagi titah baginda, ada penjenayah meninggalkan negara kerana takut berhadapan dengan tindakan undang-undang dan kemudian membuat tohmahanyang memburukkan negara sendiri.
“Manusia berlidah biawak seperti ini adalah pengkhianat kepada negara. Jika mereka berkata benar, buktikanlah kebenarannya dan jangan terus menjadi pengecut, ibarat melontar batu sembunyi tangan,” titah baginda.
Turut berangkat isteri baginda Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.
Titah Sultan Ibrahim, Malaysia adalah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang yang digubal rapi serta semua tindakan yang diambil pihak berkuasa mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Baginda bertitah setiap anggota polis sudah menjalani latihan dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan untuk menguatkuasakan segala undang-undang.
Sultan Ibrahim turut memuji polis Johor yang berjaya meningkatkan tahap keselamatan di negeri itu dan sentiasa memberi pertimbangan kepada sensitiviti masyarakat serta kepentingan ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....