SAH!!! Nurul Shuhada TV3 Letak Jawatan

PETALING JAYA - Pengacara dan wartawan penyiaran terkenal TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, membuat keputusan drastik untuk meletakkan jawatan sebagai kakitangan sepenuh masa di stesen televisyen berkenaan mulai hari ini.
 
 


Menurut Nurul Syuhada, keputusan yang dibuatnya itu sudah lama dipertimbangkan dan langsung tidak ada kena-mengena dengan isu kontroversi yang membabitkan dirinya.

"Saya pasti ramai yang akan memberi persepsi peletakan jawatan saya ini berkaitan dengan kontroversi baru-baru ini, tetapi saya ingin tegaskan ia memang tidak berkaitan langsung dengan apa yang telah berlaku.

"Lagipun saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada pihak pengurusan sebulan yang lalu dan esok (hari ini) merupakan hari terakhir saya sebagai kakitangan sepenuh masa dengan TV3," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini semalam.

Beliau memulakan tugas bersama TV3 sebagai pengacara rancangan Nona pada 1 Januari 2006 setelah muncul sebagai juara program realiti televisyen, Malaysian Top Host pada tahun sebelumnya.
 
 
 

Nurul Syuhada merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) di Terengganu. Kustem kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu.
 
Pada bulan Julai tahun lalu, pengacara kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu mendirikan rumah tangga dengan Raja Amir Shah Raja Azwa, 30, seorang pegawai bank setelah menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun.

Menurut Nurul Syuhada, dia mengambil keputusan meletak jawatan kerana mahu memberi lebih tumpuan kepada keluarga.

Beliau juga bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana sama ada dalam bidang psikologi atau tamadun Islam.

Jelasnya, setelah enam tahun berkecimpung dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berehat serta mengikut kehendak suaminya supaya tidak terlalu aktif dengan kerjaya.
 
 
 

"Saya memang sudah meletakkan jawatan sebagai kakitangan sepenuh masa TV3 tetapi selepas ini saya hanya akan terlibat sebagai pengacara rancangan Malaysia Hari Ini," jelasnya.

Katanya, keputusan tersebut juga sedikit sebanyak dipengaruhi oleh hasrat suaminya untuk menimang cahaya mata setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Nurul Syuhada dan TV3 memohon maaf berhubung ulasan semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lalu berkenaan pemilihan lokasi sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak. Dalam komennya, Nurul Syuhada menyifatkan Bintulu sebagai bandar daif.

Ekoran kontroversi itu, TV3 membuat permohonan maaf dalam satu kenyataan media sementara Nurul Syuhada pula turut berbuat demikian dalam laman sosial Facebook beliau setelah menerima kritikan serta gesaan daripada pelbagai pihak. ~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....