Artikel ini saya kongsikan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia(MBM), Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee di ruangan Minda Harian Metro. Berikut pandangan beliau mengenai daya tahan generasi muda masa kini.
----------------------------------------------------------
ARTIKEL saya bertajuk ‘Ubah mentaliti makan gaji’ yang disiarkan di ruangan Minda Harian Metro minggu lalu mendapat reaksi agak menarik daripada rakan pembaca. Melalui mesej yang dihantar menerusi SMS dan facebook, saya mendapati ramai pembaca bersetuju dengan pandangan saya bahawa golongan belia harus berani membuat transformasi diri untuk menyertai sektor pertanian dan seterusnya merebut peluang pendapatan lumayan yang dijanjikan bidang berkenaan.
Lebih menarik saya mendapat kiriman SMS daripada seorang pegawai kanan polis yang dijadualkan akan bersara wajib pada bulan Julai tahun ini yang turut berhasrat membuka ladang kelapa sawit di kampung halamannya di Kelantan. Namun, terdapat beberapa rakan pembaca yang sangsi mengenai kemampuan golongan belia untuk meneroka bidang tradisi kerana dirasakan mereka kini sudah hilang daya ketahanan untuk menghadapi cabaran yang pada tanggapan umum memerlukan kudrat tulang empat kerat.
Mungkin pandangan ini ada benarnya apabila dilihat fenomena kini orang muda lebih memilih ruang kerja selesa walaupun pulangan gaji bulanan tidak seberapa. Kebetulannya sewaktu saya menyiapkan artikel ini di lobi Hotel Pangeran di Padang, Indonesia, saya sempat bertanyakan gaji bulanan petugas kaunter. Lepasan Sekolah Menengah Kejuruan dalam bidang perhotelan ini menyatakan gajinya meliputi elaun lebih masa sebanyak RM750 sebulan dianggap sangat lumayan bagi beliau yang tinggal bersama ibu bapa.
Jumlah yang sama jika diterima belia kita di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang mungkin hanya cukup untuk kos tambang, makan minum dan sedikit keperluan diri. Malah, tidak menghairankan jika pada tengah atau hujung bulan terpaksa pula meminjam dengan ibu bapa. Realiti ini tidak dapat dielakkan kerana kos hidup kini secara relatifnya meningkat. Masalahnya peningkatan kos hidup seperti harga barang jauh lebih pantas berbanding kenaikan gaji.
Majikan juga terkena tempias berikutan kenaikan kos operasi, justeru sudahnya pengambilan staf dilakukan secara berhati-hati dan kadar kenaikan gaji tidaklah begitu menggembirakan. Tekanan hidup sebegini bukanlah mudah dihadapi. Kebanyakan anak sekarang rata-ratanya menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup yang disediakan oleh ibu bapa. Ibu bapa pula sanggup menelan kepayahan asalkan mampu menyediakan keperluan setanding dengan apa yang dinikmati anak orang lain.
Majikan juga terkena tempias berikutan kenaikan kos operasi, justeru sudahnya pengambilan staf dilakukan secara berhati-hati dan kadar kenaikan gaji tidaklah begitu menggembirakan. Tekanan hidup sebegini bukanlah mudah dihadapi. Kebanyakan anak sekarang rata-ratanya menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup yang disediakan oleh ibu bapa. Ibu bapa pula sanggup menelan kepayahan asalkan mampu menyediakan keperluan setanding dengan apa yang dinikmati anak orang lain.
Ada yang berpendapat ini hanya akan melahirkan jati diri belia yang rapuh. Ditambah lagi dengan seribu cabaran persekitaran serta penyakit sosial yang sentiasa mengintai dan mengancam. Kita harus berasa bimbang kerana perangkaan Kementerian Kesihatan pada 2011 menunjukkan terdapat lebih 11 peratus rakyat kita menghadapi masalah mental. Sudah pasti hal yang berkaitan kerjaya dan kos hidup adalah satu daripada punca utama.
Prof Rohani Nasir yang menyediakan Modul Ketahanan Diri Belia yang diterbitkan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia (IPPBM) menyatakan bahawa golongan belia harus diperkuatkan dengan ciri-ciri ketahanan diri agar dapat menghadapi cabaran hidup. Beliau amat yakin golongan belia kita mampu membina benteng ketahanan diri kerana kualiti ini sedia ada dalam masyarakat kita terdahulu.
Masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum adalah terbentuk daripada golongan pelayar, peneroka dan petani, pengembara, pedagang serta peniaga. Tidak kurang pula datang daripada kalangan pejuang serta pahlawan. Maknanya, kita perlu mengembalikan semangat dimiliki generasi lalu agar diserapkan ke dalam hati dan sanubari belia kita.
Modul di atas menegaskan bahawa belia harus digilap berdasarkan dua komponen utama iaitu Faktor Pelindung Dalaman dan Faktor Pelindung Luaran. Faktor Pelindung Dalaman merujuk kepada elemen dalaman diri yang digilap sehingga mampu membentuk ketahanan diri seperti berikut;
Autonomi: Ini membawa kesedaran belia terhadap diri, identiti dan kemampuan untuk bertindak secara berdikari dan kemampuan untuk mengawal persekitaran luaran. Ia akan meningkatkan rasa tanggungjawab dan harga diri. Elemen ini mengelakkan belia daripada sindrom menyalahkan pihak lain atas keputusan diambil kepada dirinya.
Seterusnya belia mampu menjadi individu berketahanan tinggi apabila dipupuk dengan tiga Faktor Pelindung Luaran iaitu persekitaran yang positif melalui institusi keluarga, sekolah dan komuniti.
Ketiga-tiga institusi ini adalah ruang persekitaran yang amat mempengaruhi jati diri belia. Justeru, ia perlu disediakan dalam suasana positif dan membina. Kita harus menghentikan sikap menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain setiap kali wujudnya masalah belia atau remaja. Sebaiknya ketiga-tiga institusi ini sentiasa bekerjasama dengan matlamat untuk melahirkan seorang individu belia yang unggul.
Perjalanan seribu tahun bermula pada langkah yang pertama! Mulakanlah langkah tetapi pendakian ke puncak memang memeritkan. Langkah makin kecil dan tenaga makin berkurang. Hanya insan yang tabah dan istiqamah akan berjaya menjejaki puncak kejayaan.
Sumber : Majlis Belia Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....