Menurut Undang-undang di Malaysia, rakyat yang berumur 21 tahun ke atas adalah layak mengundi dalam pilihan raya dengan syarat mereka telah mendaftar sebagai pemilih. Statistik penduduk terkini menunjukkan sejumlah 16.1 juta rakyat Malaysia adalah berusia 21 tahun ke atas. Dan daripada jumlah itu, hanya 12.4 juta sahaja yang mendaftar sebagai pengundi. Ini bermakna, terdapat seramai 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menyatakan bahawa dua juta daripada 3.7 juta yang belum mendaftar itu terdiri daripada orang-orang Melayu. Daripada dua juta orang Melayu yang belum mendaftar itu, 60 peratus terdiri daripada golongan yang berumur di bawah 40 tahun. Menurut Wan Ahmad lagi, 3.7 juta adalah angka yang besar. Jumlah pengundi sebesar itu mampu mempertahankan atau menjatuhkan sesuatu kerajaan. Mengapa ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi? Melihatkan angka yang besar sebanyak 3.7 juta rakyat Malaysia belum mendaftar sebagai pengundi, pasti ada masalahnya.
Adakah kerana sistem untuk mendaftar sebagai pengundi terlalu rumit di Malaysia? Mungkinkah ramai yang tidak tahu di mana untuk mendaftar? Apakah Malaysia memerlukan satu sistem pendaftaran pengundi secara automatik supaya rakyat yang berumur 21 tahun ke atas secara automatiknya menjadi pengundi? Parti-parti politik dan NGO yang dilantik sebagai Penolong Pendaftar kepada SPR bagi mendaftarkan pengundi tidak begitu agressif bekerja? Adalah lebih baik, badan-badan akademik melakukan kajian atau survey untuk mencari jawapan kepada permasalahan ini. Pilihan raya umum (PRU) ke 13 boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.
Daripada 12 PRU, hanya dua kali mereka hilang penguasaan majoriti 2/3 di parlimen iaitu dalam PRU 1969 dan PRU 2008. PRU 1969 melahirkan sejarah berdarah 13 Mei. Tragedi 13 Mei menyebabkan Tun Razak melakukan penjenamaan semula Perikatan menjadi BN. Penjenamaan semula memberikan kemenagan besar kepada BN. Apatah lagi apabila parti pembangkang seperti PAS dan Gerakan menyertai gabungan politik tersebut. PAS kemudiannya keluar dari BN. PRU 2008 menyebabkan Tun Abdullah Badawi turun dari takhta lebih awal. Abdullah disalahkan kerana BN hilang penguasaan majoriti 2/3 di parlimen dan beberapa negeri tumbang kepada PR. Datuk Seri Najib Razak naik sebagai perdana menteri pada tahun 2009 dalam keadaan BN lemah.
Persamaan di antara Najib dan arwah ayahnya adalah kedua-dua mereka mengambil alih kepimpinan negara pada ketika parti mereka tidak begitu kuat. Perbezaannya pula adalah Tun Razak lebih radikal. Menjenamakan semula Perikatan menjadi BN. Membawa masuk Tun Dr Mahathir yang dipecat oleh Tunku Abdul Rahman kembali kepada Umno. Sementara Najib belum begitu berjaya meyakinkan Umno untuk bersamanya dalam gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya. Program transformasinya “disabotaj” secara terang-terangan oleh “golongan garis keras” dalam Umno. PRU 13 dikatakan akan menjadi “ibu segala pilihan raya” di Malaysia.
PR begitu bersemangat mahu mengambil alih kuasa manakala BN terlalu yakin Malaysia masih di bawah mereka. Gagasan 1Malaysia dan transformasi politik, ekonomi dan sosial Najib dikatakan memikat majoriti rakyat Malaysia. Pakatan pula yakin mampu menawan Putrajaya. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mengulangi kenyataan bahawa BN akan tumbang dalam PRU 13. Apabila melihat angka 3.7 juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, kedua-dua BN dan PR tidak dilihat serius untuk mencapai cita-cita mereka. BN sekurang-kurangnya mempunyai seluruh jentera kerajaan bersama mereka. Sabah dan Sarawak pula dikatakan masih menjadi “fix deposit” kepada parti yang memerintah semenjak merdeka itu.
Bagi Pakatan yang ingin mengambil alih kuasa, bukankah pendaftaran pengundi baru secara agressif penting bagi merealisasikan cita-cita? Apatah lagi dua juta pengundi yang belum mendaftar terdiri dari orang-orang Melayu. 60 peratus dari dua juta itu berumur di bawah 40 tahun. Nak ke Putrajaya, kena kerja keras. Pakatan kini mempunyai sokongan yang kuat daripada masyarakat Cina. Masyarakat Melayu di pendalaman majoritinya masih bersama BN. Peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu muda adalah mendaftarkan mereka sebagai pengundi secara agressif. Lihat bagaimana Parti Demokrat menghantar Barack Obama ke Rumah Putih. Bukankah pendaftaran pengundi baru menjadi strategi utama mereka?
Program seperti ceramah umum yang dihadiri ribuan orang terbukti tidak banyak membantu dalam kemenangan pilihan raya. Ianya lebih kepada “masturbasi politik” kerana kebiasaannya dihadiri oleh penyokong-penyokong tegar. Jika jumlah kehadiran dalam ceramah dan komen-komen di internet dijadikan ukuran kekuatan sesuatu parti politik, tidak hairanlah mengapa BN menang dalam semua PRU yang dipertandingkan di negara ini.
Sumber : Malaysiakini
BB : Mana dia jentera pendaftar ni? Depa dok buat apa? Lena ka? Sedangkan senarai nama semua dah ada di JPN. Boleh buat pemutihan apa. Kalau di luar negara kita ada rekod dengan Imigresen. Kalau dah meninggal pun kita ada rekod. Yang dalam parti pulak dok buat apa? Buat kerja main cincai aja... Bukan susah, jaga kawasan sendiri, jaga bahagian sendiri. Pastikan semua jentera berfungsi. Kalau setakat jaga kroni sendiri, jangan harap la... Orang sekarang dak celik segala-galanya. Jangan dok ingat korang dah ada jawatan kat bahagian/ cawangan tu kira dah hebat. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menjaga kebajikan rakyatnya tanpa mengira fahaman politik...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....