Nuffnang

SPRM : Kenyataan Media 3 Isu Semasa


PENJELASAN SPRM MENGENAI TIGA ISU SEMASA

Susulan kepada kenyataan-kenyataan media sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan beberapa isu yang mendapat liputan media dan dibangkitkan oleh beberapa pihak sejak beberapa hari yang lalu. 


CUTI DAN RAWATAN KETUA PESURUHJAYA

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara pada hari Jumaat, 7 Ogos 2015. 

Pembedahan ini telah lama dijadualkan dan atas nasihat pakar perubatan, Tan Sri Abu Kassim telah selamat menjalani pembedahan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Haji Mustafar Ali telah menziarahi Tan Sri Abu Kassim pada hari Sabtu, 8 Ogos 2015 dan mendapati Tan Sri Abu Kassim yang masih mendapatkan rawatan sedang beransur pulih. 

Pakar Perubatan yang merawat beliau telah menasihatkan agar Tan Sri Abu Kassim berehat secukupnya sebelum kembali bertugas.


Dalam masa SPRM berhadapan dengan beberapa isu dan cabaran yang dihadapi, Tan Sri Abu Kassim melalui Datuk Mustafar, yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya semasa ketiadaan beliau dan Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) yang bertugas rasmi di luar negara, telah meminta semua pegawai SPRM terus melaksanakan tugas dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana Aspirasi SPRM. 

Beliau juga meminta semua pihak menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berhemah dan profesional.


SOKONGAN PELBAGAI PIHAK KE ATAS SPRM

SPRM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat jelata yang telah memberikan sokongan moral secara langsung atau tidak langsung. 

Berhubung dengan kenyataan dan laporan media mengenai pendirian beberapa pihak yang mahu berkumpul di premis SPRM di seluruh negara bagi menzahirkan sokongan kepada pegawai-pegawai SPRM, meskipun SPRM menghargai sokongan dan tindakan mereka, SPRM memohon kerjasama agar tidak meneruskan tindakan mereka kerana bimbang ia akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai yang berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan memandangkan sebahagian besar pejabat SPRM terletak dalam kompleks atau bangunan Kerajaan Persekutuan.

Pada pandangan SPRM memadai dengan sokongan yang telah diperlihatkan setakat ini dan memohon rakyat terus memberi kerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah. 

Rakyat boleh terus memberi kerjasama dalam memerangi rasuah dengan tidak memberi rasuah, tidak menerima rasuah dan melaporkan semua bentuk jenayah rasuah. 


KENYATAAN KETUA POLIS NEGARA

SPRM juga menyambut baik kenyaatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa Polis Diraja Malaysia akan menangguhkan sementara siasatan melibatkan pegawai SPRM berhubung kes kebocoran maklumat. 

SPRM berpendapat bahawa tindakan ini akan membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud sekarang. SPRM memahami tugas dan tanggungjawab PDRM, dan begitu juga PDRM berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab SPRM. 

SPRM ingin jelaskan bahawa Suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional.

Melihat kepada suasana sekarang, SPRM meminta kepada semua pihak agar tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih serta andaian negatif yang boleh mengelirukan dan malah boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.


DATUK HAJI MUSTAFAR ALI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA




Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top