Nuffnang

ANALISIS : Pengundi Muda "KUNCI" Tawan Sungai Limau!! @KhairyKJ




Pengundi muda harus menilai kemampuan calon pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau secara mendalam bagi memastikan pembangunan di kawasan itu akan lebih terjamin.

Empat kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di DUN Sungai Limau ialah Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buluh dan Selengkoh.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata ia petanda baik dan jika majoriti PAS di empat kubu kuat mereka itu dapat dikurangkan, peluang BN secara keseluruhan bagi pilihan raya kecil DUN itu adalah lebih cerah.

“Saya diberitahu dahulu, nak letak bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, sekarang ini bendera BN berkibar di sana, poster dan bunting calon dapat dinaikkan malah ada juga orang kuat PAS yang sudah bersama kami.

“Sama ada menjadi jentera, menyokong, ada juga yang menjenguk bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kami, itu petanda baik, maksudnya mereka bersedia untuk buat penghijrahan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjaun mesra di PDM Bukit Besar dan Permatang Buluh, di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara keseluruhan harapan generasi muda yang ingin melihat kemajuan menjadi antara faktor sokongan kepada BN di DUN itu semakin meningkat.

“Mereka menaruh harapan tinggi bahawa kemajuan dan perubahan ini hanya dapat dikecapi sekiranya wakil rakyat di sini adalah wakil rakyat dari parti sama yang mentadbir kerajaan negeri dan pusat,” katanya.

Bagi Pemuda BN, beliau berkata strategi yang diguna untuk menarik lebih ramai sokongan pengundi akan terus menggunakan tempo sama dengan pendekatan sederhana, antaranya menemui pengundi dari rumah ke rumah dan mengadakan ceramah kecil-kecilan.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno kesal imej dan ketokohan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat Sungai Limau sejak 1995 sehingga meninggal dunia pada 26 Sept lepas, dimanipulasi PAS dalam kempen pilihan raya kecil itu.

“Saya rasa amat sedih sebab gambar itu diedarkan semata-mata nak tunjukkan bahawa calon dia (PAS) itu baik dengan arwah Ustaz Azizan, sebab dia tahu Ustaz Azizan disegani dan dihormati dan apa tujuan nak letak gambar dia dengan Ustaz Azizan sebab nak dapat sokongan daripada orang yang sayang arwah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemalsuan gambar risalah profil calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

Terdahulu, Khairy dalam lawatan membantu kempen pilihan raya kecil itu turut membuat tinjauan menaiki motosikal ke empat rumah di kawasan Bukit Besar, di sini






Penganalisis politik berpendapat, adalah penting bagi 11,000 pengundi muda atau 60 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar Dun Sungai Limau mengambil kira faktor perangkaian dan sistem sokongan calon bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat berjalan lancar.

Dalam PRU yang lepas, Dun Sungai Limau adalah satu-satunya kawasan di bawah Parlimen Jerai yang dikuasai Pas, berbanding dua lagi Dun iaitu Guar Chempedak dan Gurun yang di bawah BN.

Dun Sungai Limau malahan berada di bawah Pas sejak PRU 1995 apabila Tan Sri Azizan Abdul Razak bertanding buat pertama kali kerusi tersebut, dan sebelum itu kerusi itu disandang oleh Ahmad Awang dari BN.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Prof Datuk Dr Ramlah Adam, satu-satunya cara untuk memastikan agenda pembangunan berjalan lancar adalah memastikan setiap peringkat, bermula daripada Dun, Parlimen hinggalah ke kerajaan negeri, diwakili oleh suara yang sama.

"Kita tak nafikan Pas juga boleh membawa suara rakyat, tetapi suara yang dibawa adalah dari sudut pembangkang yang mungkin mempunyai objektif berlainan," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Ramlah berkata pengundi muda harus menolak kepentingan diri dan memilih calon yang boleh melakukan perubahan signifikan terhadap kawasan itu.




Beliau berkata di sinilah pentingnya golongan muda menilai secara menyeluruh mengenai calon yang bertanding, terutama dalam memilih wakil yang lebih memahami prosedur pentadbiran dalam sesuatu organisasi.

"Kedua-dua calon mempunyai latar belakang sebagai pendidik, namun BN mengenengahkan seorang bekas pensyarah kanan sebuah universiti awam serta mempunyai kelayakan peringkat doktor falsafah, "Disokong pula dengan pengalaman beliau yang begitu lama dalam bidang pendidikan...jiwa pendidik biasanya sentiasa mempunyai kecenderungan untuk berinteraksi lebih dengan masyarakat dan ini pasti memberikan kelebihan untuk beliau memimpin masyarakat setempat," katanya.

Untuk kerusi Dun Sungai Limau, BN kali ini menampilkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, manakala Pas memilih bekas Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Menengah Agama An-Nadzah, Mohd Azam Abd Samat, 37, sebagai calon.

Tambah Ramlah lagi, pengundi berdaftar, khususnya dari golongan muda harus bertanya kepada diri sendiri adakah mereka sudah berpuas hati dengan kemajuan Dun Sungai Limau capai sejak 18 tahun di bawah pimpinan Pas.

"Mereka harus berfikir adakah adil untuk melihat kawasan tersebut, yang didiami sebilangan besar warga emas serta generasi baharu, untuk terus mundur tanpa pembangunan?" katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, pengundi muda harus melihat corak kempen kedua-dua calon dan menilai siapa yang lebih mementingkan pembangunan kawasan ini.

Beliau berkata Ahmad Sohaimi dilihat lebih fokus, ke arah agenda pembangunan berbanding dengan taktik menyerang keperibadian lawan, yang beliau sifatkan sebagai politik agresif.

"Di samping agenda pembangunan, beliau (Ahmad Sohaimi) masih tidak mengabaikan satu daripada identiti Sungai Limau iaitu sekolah pondok," katanya.

"Malah beliau sendiri menyatakan komitmennya untuk melihat sekolah pondok berteraskan pembelajaran sains untuk dibina di sini sebagai sebahagian daripada manifesto beliau," kata Md Shukri.

Menurut Md Shukri, masyarakat, khususnya pengundi, akan melihat pendekatan yang Ahmad Sohaimi ambil, iaitu memastikan pembangunan disuntik tanpa mengabaikan elemen yang sudah menjadi sebahagian daripada penduduk di sini, sebagai satu kelebihan untuk memungkinkan beliau dipilih.

"Inilah peluang kepada orang muda di Sungai Limau, mahupun mereka yang sudah sekian lama berhijrah ke bandar-bandar, untuk bersama-sama kerajaan negeri supaya dasar baharu Dun Sungai Limau boleh dilaksanakan," katanya. 

- Bernama
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top