Nuffnang

JONKER WALK MENJADIKAN IDRIS MB FLIP FLOP!! JAWATAN MT UMNO TERGUGAT?



Isu Jonker Walk terus menggegar Ketua Menteri Melaka, Idris Harun, yang sebelum ini menjadi bahan sindiran kerana mahu mempatenkan resepi asam pedas terbaik negeri itu melalui hasil suatu pertandingan bagi memeliharanya sebagai suatu produk warisan negeri yang perlu dipertahankan.

Idris yang baru sebulan lebih menjadi Ketua Menteri menggantikan Ali Rustam sebelum ini dilaporkan mahu menutup Jonker Walk, kawasan perniagaan barangan seperti cenderamata, kemeja-t dan sebagainya yang mirip seperti kawasan perniagaan Jalan Petaling untuk mengurangkan masalah kesesakan di negeri itu. Berikutan adanya bantahan atas tindakan itu, Menteri Pelancongan, Nazri Aziz, ikut masuk campur dan kemudian menjelaskan bahawa ianya hanya melibatkan pembukaan jalan di kawasan perniagaan itu kerana adanya rungutan orang awam berkenaan kesesakan lalu lintas yang teruk. Kononnya pula, ia hanya percubaan selama empat minggu sahaja dan akan dikembalikan seperti biasa selepas itu.

Dalam masa yang sama, tindakan yang dibuat oleh Idris itu dikecam oleh pelbagai pihak terutama DAP sebagai amalan politik balas dendam terhadap masyarakat Cina berikutan keputusan pilihan raya lalu yang menyaksikan komuniti itu menolak BN.

Sementara tindakan Idris itu terus dibantah, terdapat pula pihak lain termasuk blogger pro-UMNO yang memuji tindakan Idris itu sebagai suatu pengajaran kepada pengundi Cina yang majoritinya tidak menyokong BN. Idris dalam masa yang sama dilihat pemimpin yang berjiwa Melayu yang tinggi atas tindakannya itu kerana majoritinya peniaga di situ ialah orang Cina dan peniaga Melayu didakwa tidak mendapat manfaat yang besar daripadanya.




Berikutan isu itu terus dimainkan, Idris kemudiannya membuat keputusan yang lain pula dalam mesyuarat Exco Kerajaan Melaka iaitu membuka laluan untuk kenderaan dan di ketika yang sama membuka juga kawasan perniagaan Jonker Walk sebagai suatu keputusan menang-menang kepada para peniaga dan juga kepada para pengguna jalan raya. Namun keputusan ini menyebabkan beliau dikecam juga kerana dianggap tidak tegas dan ibarat menjilat ludahnya kembali.

Bagaimanapun tindakan beliau itu tidak juga meredakan keadaan. Selain peniaga-peniaga, menteri yang menjaga pelancongan negara, Nazri sekali lagi bersuara membantah. Beliau berkata, pembukaan serentak laluan untuk kenderaan dan kebenaran untuk berniaga sebenarnya lebih menyebabkan kesesakan. Lagi pula, kata Nazri, dengan membenarkan kenderaan lalu-lalang di kawasan itu, ia tidak akan dikenali lagi sebagai Jonker Walk, sebaliknya sudah menjadi Jonker Drive.

Demi kepentingan pelancongan dan oleh kerana produk Jonker Walk lebih bernilai tinggi berbanding asam pedas dari segi menggamit kehadiran pelancong ke negeri itu, Nazri juga berjanji akan mengembalikan kawasan itu sebagaimana kedudukan asalnya dalam masa terdekat ini. Terlihat seperti Nazri amat tidak bersetuju dengan Idris dalam isu Jonker Walk ini. Dalam masa yang sama, MCA juga merayu kepada Idris agar menarik balik pembukaan jalan untuk kenderaan itu dan menjadikan kawasan perniagaan Jonker Walk sebagaimana ia diwujudkan dulu.




Isu Jonker Walk seperti mendatangkan malang kepada Idris. Beliau mungkin berniat baik dan mahu menunjukkan jiwa Melayunya yang tinggi sepertimana bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris, yang memang terkenal sebagai pemimpin berjiwa Melayu yang tinggi dengan mewujudkan perkampungan Melayu seperti Kampung Baru dan Kampung Pandan di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kebetulan pula nama keduanya hanya terbalik nama bapa sahaja.

Tetapi Idris harus menyedari bahawa beliau hidup dalam era 1Malaysia di mana kepimpinan negara termasuk Najib amat berhati-hati dalam perkara-perkara yang melibatkan kaum Cina kerana tidak mahu terus kehilangan sokongan daripada masyarakat itu. Tindakan Idris dalam isu Jonker Walk boleh saja ditafsirkan sebagai beliau tidak mempunyai semangat seperti Najib, malah dianggap mengamalkan gaya politik balas dendam.

Lebih-lebih lagi dalam rekodnya menjadi pemimpin, bermula daripada menjadi Exco Pemuda UMNO, sekejap sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, jiwa dan perjuangan Melayunya tidak tergambar langsung di mata umum walaupun dalam ucapannya suatu ketika dulu, beliau pernah juga memperkenalkan dirinya secara bergurau dengan menyebut, "nama saya Idris Harun, kalau diterbalikkan jadi Harun Idris."

Terlihat ada kecenderungan untuk menjadi popular dan gah seperti bekas Menteri Besar Selangor itu, walaupun karektor dan wibawanya jauh berbeza. Isu Jonker Walk ini menjadikan beliau lagi jauh berbeza. Tindakannya bukan saja menjadi kecaman ramai, malah tidak dipersetujui oleh seorang menteri kabinet yang jauh lebih senior dan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Najib.

Dalam mengurus sebuah kerajaan negeri seperti Melaka, kalau pun tidak mahu berguru dengan Rahim Tamby Chik yang juga pernah memimpin negeri itu, Idris seharusnya banyak belajar daripada pendahulunya, Ali Rustam, yang dikenali sebagai antara Ketua Menteri Melaka yang hebat, tenang dan disukai ramai serta mempunyai keghairahan yang tinggi memajukan negeri itu. Walaupun kalah di Bukit Katil dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau terus bekerja dan berjumpa dengan rakyat seperti biasa.

Jika idea Idris mengenai asam pedas mengundang ketawa dan Jonker Walk pula meletakkannya ke lembah pertikaian ramai, cabaran di hadapannya jauh lebih besar lagi. Sekiranya berterusan begini, kedudukannya di Melaka tentunya bakal mengundang rasa tidak senang di hati Perdana Menteri dan hayatnya di Melaka mungkin hanya sepenggal saja.
Share this article

2 Komen:

  1. tp tindakan nazri campur tgn umpama takutdgn byg2..bkn jonker walk je tarikan pelancong di melaka,,,nazri seolah2 manusia jumud yg duduk dlm gua...rakyat bkn nk pemimpin yg kaki bodek....tp nk yg tegas memimpin bkn mrk yg dipimpin..klu takut ilang undi..dh lama kita ilang undi..jgn sampai melayu kg pun x nk undi umno sbb hal2 cm ni,,bukak mata bukak ati...jgn buta n tuli

    BalasPadam
  2. Janganlah tutup jonker walk tersebut..saya sendiri merupakan anak jati Melaka..tiada isu perkauman di sini..jangan sesiapa pun ungkitkan isu perkauman di melaka...rakyat melaka hidup bersatu padu dan saling bertolak ansur..walaupun saya tiada pengalaman politik dan jauh lebih muda dp YAB Ketua Menteri,saya nasihatkan beliau supaya belajar dari Datuk Wira Ali Rustam kerana beliau sememangnya seorang pemimpin yang berjiwa rakyat..beliau lebih mengutamakan konsep 1 MALAYSIA lebih dari kepentingan satu kaum sahaja..dan satu perkara di sini yang saya ingin beritahu adalah saya merupakan seorang pelajar India..dan bagi saya perpaduan adalah sangat penting..jangan rosakkan perpaduan hanya utk kepentingan sesuatu pihak sahaja..INGAT..di Malaysia kamu tak akan jumpa seorang Melayu tanpa kawan Cina dan India..walaupun kami masih muda tetapi kami sayangkan negeri dan negara kami..jangan rosakkan imej politik dengan tindakan terburu-buru..

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top