Nuffnang

EKSKLUSIF LAHAD DATU!! KISAH PENDUDUK "MENANTIKAN" PENGGANAS KIRAM!!




"Saya sedia mati lawan pengganas," itulah yang diluahkan penduduk Kampung Sungai Merah, Arfian Arsad, 31, ketika ditanya mengenai pencerobohan pengganas Kiram ke kawasan kampungnya sejak pertengahan Februari lalu.

Menurutnya, akibat terlalu marah dan menyusahkan kehidupan penduduk, dia sanggup berhadapan dengan pengganas hanya bersenjatakan parang dan jika terpaksa, berlawan menggunakan tangan kosong.

Katanya, keberanian meresap dalam diri apabila mendengar dua perajurit negara terkorban di Kampung Tanduo, 1 Mac lalu. Dua perajurit yang terkorban itu adalah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46, kedua-duanya dari VAT69.


"Saya betul-betul sakit hati, saya sudah tidak tahan, saya nekad untuk bunuh pengganas kerana perwira kita telah terbunuh. “Sejurus selepas pertempuran itu (1 Mac), saya terus arahkan ibu, bapa dan adik beradik saya lari meninggalkan kampung ini, saya mahu tinggal bunuh pengganas,” katanya.

Arfian berkata, pada mulanya dia mahu pergi ke Kampung Tanduo untuk membunuh pengganas, tetapi pasukan polis yang mengepung kampung tersebut tidak mengizinkannya masuk dan hanya membenarkan dia tinggal di rumah.

Kecewa dengan arahan polis itu, Arfian terus meletakkan parang di beberapa sudut rumahnya bagi persediaan menentang pengganas jika mereka berjaya meloloskan diri. Sejak itu, Arfian berseorangan diri di rumah selama 26 hari, menunggu jika ada pengganas berani memecah masuk rumahnya.

“Saya terus berkawal di sekitar rumah, walaupun seluruh penduduk sudah melarikan diri, saya sanggup mati, saya sudah asah parang setajamnya. “Saya tahu mereka ada ilmu kebal, sebab itu mereka berani datang ke sini untuk membuat kacau. Mereka menggunakan ilmu kulias (menyekat tembakan), ilmu angin (pengabur dan muncul di banyak tempat serentak) serta ilmu kebal.

“Saya boleh berhadapan dengan mereka, saya yakin boleh membunuh beberapa orang daripada mereka (pengganas) sebelum nyawa saya sendiri melayang,” katanya penuh yakin. Pada 5 Mac, ketika Op Daulat dilancarkan dengan serangan udara dari pesawat pejuang F/A-18 dan Hawk, Arfian masih berada di rumahnya yang terletak hanya 2 kilometer dari Kampung Tanduo.

Katanya, pada pagi hari tersebut, dia sempat merakam serangan udara tersebut di atas atap rumahnya sendiri. “Selepas pesawat lalu di kampung saya, saya terus merakam dan mendengar letupan yang amat kuat, seluruh tanah bergegar.

“Sejurus selepas itu, saya nampak kepulan asap dari arah Kampung Tanduo,” katanya.

Sementara itu, ibu Arfian, Putri Salleh, 58, berkata, pada mulanya dia tidak mahu meninggalkan anaknya bersendirian di rumah dengan hasrat ‘gilanya’. Tetapi segala pujuk rayunya gagal apabila anaknya tetap berkeras mahu membunuh dan menghalau pengganas dari bumi Sabah.

“Dia terlalu sakit hati, sebab itu keberaniannya membara, saya hanya redha pada ALLAH tentang keselamatannya,” katanya. Putri berkata, dia mempunyai enam orang anak, dan Arfian adalah anak ketiganya. Ditanya mengenai hasrat pengganas Kiram yang mahu menawan Sabah, Putri berkata, hasrat tersebut tidak akan berjaya buat selama-lamanya selagi Malaysia mempunyai pahlawan yang berani.

“Selagi Gunung Kinabalu teguh berdiri, selagi itulah kami bertahan di sini,” katanya.

~TEMURAMAH SINAR HARIAN BERSAMA PENDUDUK KG SUNGAI MERAH KETIKA OPS DAULAT SEDANG DIJALANKAN~
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top