KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu komando VAT69 melepaskan tembakan ke arah penceroboh di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dalam satu operasi pada 6 Mac tahun lepas.
Deputi Supritendan Anwar Rosdi berkata, dalam kejadian pada 3 petang itu, beliau dan anggota pasukannya membuat rondaan dalam operasi ‘cut-off’ bagi menghalang penceroboh melepaskan diri daripada kampung itu apabila mereka ternampak lima atau enam lelaki bersenjata menuju ke arah mereka.
“Dalam jarak lebih kurang 30 meter, kumpulan saya melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata,” katanya.
Menjawab soalan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sama ada penceroboh berkenaan membalas tembakan, Anwar berkata “Ya.”
Saksi keenam dalam pendengaran kes pencerobohan bersenjata di Lahad Datu tahun lepas itu berkata pertempuran berlangsung selama 10 minit dan selepas itu, beliau dan anggota pasukannya kembali ke kedudukan seperti yang ditugaskan kepada mereka.
Anwar berkata dua jam kemdian, beliau dan anggotanya membuat pemeriksaan di kawasan penceroboh terbabit membalas tembakan mereka.
“Kami menjumpai dua mayat penceroboh bersenjata, tetapi tidak jumpa apa-apa pada tubuh mereka,” katanya.
Anwar berkata selain membuat pemeriksaan di tempat berlaku tembak-menembak ketika menjalankan operasi itu, beliau dan anggotanya tidak menjalankan penggeledahan terperinci di tempat kejadian kerana keadaan di Kampung Tanjung Batu masih berbahaya ketika itu.
Kata pegawai polis itu, Pemerintah Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun memerintah beliau dan anggota pasukannya terus berada di tempat tugasan mereka hingga 9 Mac.
Anwar berkata pada 12 Mac, beliau diperintah mengetuai sekumpulan penembak tepat bagi membantu Angkatan Tentera Malaysia membuat pengawasan di Kampung Tanduo hingga 16 Mac.
Kata Anwar, beliau dan Inspektor Rosli Wahab bersama 12 penembak tepat pergi ke Kampung Tungku pada pukul 2 pagi 19 Mac untuk menjalankan tugas mengawasi kawasan itu hingga 21 Mac.
Sebelum itu, Anwar diminta melihat 11 gambar Kampung Tanduo yang dirakam dari udara, yang pernah dibincang beliau dengan pegawai atasannya serta para pegawai VAT69 pada 28 Februari.
Abdul Gani: Selepas melihat gambar-gambar ini, dua daripadanya (setiap satu) menunjukkan seorang penceroboh bersenjata menghala senjatanya ke arah helikopter; dua gambar menunjukkan penceroboh bersenjata berada di bawah pohon kelapa sawit; sekeping gambar menunjukkan seorang penceroboh bersenjata memakai baju T dan seluar celoreng; dan lima gambar penceroboh bersenjata membuat rondaan, apakah pendapat yang anda beri dalam perbincangan itu tentang tindakan dan tujuan mereka (penceroboh bersenjata)?
Anwar: Mereka bertujuan mahu menentang pasukan keselamatan.
Abdul Gani: Apa yang kamu maksudkan dengan ‘menentang pasukan keselamatan?
Anwar: Mereka mencabar dan mahu menentang pasukan keselamatan kerana mereka mengacukan senjata ke arah helikopter. Mereka juga membuat persediaan dengan membuat rondaan supaya tiada yang boleh masuk Kampung Tanduo.
Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini.
Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk orang untuk menganggotai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.
Pendengaran di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok. (Hari ini). – Bernama