Seminggu dua ini kita dikejutkan dengan berita 2 ahli Parlimen BN dari Sabah yang meletak jawatan.
Sudah lebih seminggu juga PAS membisu terhadap cabaran yang dilontar oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali berhubung tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mahukan kebebasan menganut, mengamal, dan menyebarkan agama tanpa sebarang batasan di negara ini.
Sebab musabab mengapa PAS tiba-tiba diserang sindrom bisu, satu Malaysia sudah tahu.
Ini kerana pemimpin besar parti itu seperti Abdul Hadi Awang, Nik Aziz Nik Mat dan Mat Sabu sudah menjual perjuangan agama Islam kepada sekutu politiknya, DAP dan PKR demi kemaruknya untuk menawan Putrajaya.
Tanpa disedari CFM telah mendedahkan dengan sendirinya hasrat golongan Kristian dan perancangan Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Rakyat.
Sasaran utama dalam agenda besar Anwar meluaskan pengaruh Kristian di negara ini ialah Sabah.
Salah satu strateginya boleh dilihat daripada desakan untuk ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI ke atas masalah pendatang haram di Sabah yang mana kerajaan telahpun menyetujuinya.
Tujuan sebenar Pakatan Rakyat bukannya untuk membersihkan Sabah daripada pendatang asing tetapi sebaliknya untuk melemahkan kedudukan politik umat Islam di negeri itu.
Ini kerana Pakatan Rakyat mensasarkan untuk menguasai satu pertiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 31 kerusi lagi di Sarawak, dalam mengejar impian mereka ke Putrajaya.
Rata-rata pendatang asing di Sabah adalah beragama Islam dan mereka merupakan mangsa persengkataan bersenjata di antara puak Moro dan kerajaan Filipina yang sudah berlarutan hampir empat dekat.
Kebanyakan mereka sudahpun diterima sebagai penduduk tetap dan ada sesetengah yang menjadi warganegara Malaysia.
Mereka hidup dalam aman dan damai, berkeluarga serta membina kehidupan baru di negara ini yang amat prihatin terhadap penindasan yang berlaku ke atas saudara seagama.
Malaysia menerima mereka dengan tangan terbuka malah menghulurkan pelbagai bantuan kemanusiaan sejak sekian lama.
Golongan Kristian tidak pernah dapat menerima kehadiran pendatang asing yang beragama Islam dengan seikhlas hati.
Jika senario bertukar di mana pendatang asing tersebut semuanya beragama Kristian, mungkin tidak wujud desakan untuk menubuhkan sebuah RCI.
Jika dilihat kalangan yang memulakan tuntutan penubuhan RCI adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik beragama Kristian.
Apabila golongan Kristian Sabah melihat pendirian pluralisme dan liberalisme agama yang dipegang oleh Anwar, mereka pun mengambil peluang keemasan ini untuk melebarkan pengaruhnya.
Bagi Anwar pula, selagi kumpulan ini sanggup menyokong impiannya menjadi Perdana Menteri, tidak ada masalah baginya untuk mengorbankan bangsa Melayu, kepimpinan Melayu dan Islam sekalipun.
Ini jelas apabila beliau mencanang untuk melantik Baru Bian, seorang pemimpin Kristian dari PKR sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya negeri tahun lalu.
Malah di Pulau Pinang, atas dasar majorti penduduk di negeri itu adalah kaum Cina, Anwar juga sanggup mengorbankan agenda Melayu dengan meletakkan DAP menerajui kerajaan negeri.
Satu lagi petanda bahawa Anwar kian terjerat sokongan janji puak Kristian Sabah ialah kewujudan beberapa kumpulan politik, setiap satunya di bawah seorang pemimpin Kristian.
Setelah dipecat daripada PKR, Dr Jeffrey Kitingan akhirnya menubuhkan Parti Reformasi Sabah (Star).
Begitu juga tindakan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing yang mengasaskan Angkatan Perubahan Sabah sejuruskan meninggalkan BN.
Kesemua kumpulan politik Kristian berdiri teguh di belakang Anwar dan Pakatan Rakyat bukan untuk menegakkan keadilan atau berjuang untuk rakyat tetapi menghapuskan Islam di bumi Sabah.
Satu lagi pemimpin Kristian ialah Kalakau Untol yang berjaya menyusup di dalam kepimpinan PKR dan bertindak sebagai pengemudi agenda Kristian di dalam parti itu.
Sementara itu pada peringkat pusat, pemimpin Kristian PKR di ungguli oleh bekas Menteri Kesihatan, Jimmy Chua Jui Meng, bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, dan Exco Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong.
Mereka seringkali berulangalik ke Sabah bagi memantapkan jalinan kerjasama antara pemimpin Kristian PKR di peringkat pusat dan negeri.
Apabila sesuatu aktiviti politik PKR Sabah di anjur oleh golongan Kristian, pasti aturcaranya akan mengandungi elemen-elemen berunsur keagamaan seperti nyanyian dan iringan doa Kristian sebelum majlis dimulakan.
Anwar atau mana-mana pemimpin Melayu PKR tidak pernah sekalipun menegur atau mengkritik tindakan kumpulan Kristian yang secara terang-terangan melanggar peruntukan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
Malah Anwar telah menjadi agen Kristian paling nyata apabila bermati-matian memperjuangan isu kalimat Allah untuk digunakan juga oleh golongan Kristian.
PAS tidak lagi boleh diharapkan untuk mempertahankan kepentingan Islam manakala PKR sudah jelas pendiriannya menyokong Kristian di Sabah.
Demi kepentingan Islam, orang Melayu wajib menolak Anwar dan politik yang dibawa Pakatan Rakyat sebelum nasi menjadi bubur.